top of page

PENGENALAN (SEKOLAH)

SMK Tun Syed Zahiruddin merupakan sebuah sekolah menengah baharu dalam daerah Jasin yang telah dibuka pada awal tahun 2011 bertempat di Kampung Ayer Tawar, Merlimau, Melaka.

 

Penubuhan sekolah ini adalah rentetan daripada kepadatan bilangan murid di sekolah-sekolah menengah berhampiran seperti SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub dan SMK Dang Anum. Sekolah ini mula dibina pada tahun 2008 dengan kos pembinaan sebanyak RM28 juta di bawah RMK Ke-10 dan siap sepenuhnya pada 1 November 2010. Ia dibina di kawasan seluas 25 ekar meliputi 15 ekar kawasan bangunan pendidikan dan kemudahan prasarana yang lain.

 

Pada asalnya, sekolah ini telah dinamakan sebagai SMK Ayer Tawar sempena dengan nama kawasan ia didirikan. Namun, nama sekolah ini telah ditukar kepada SMK Tun Syed Zahiruddin sebagai mengenang jasa Yang Di-Pertua Negeri Melaka yang ke 4 iaitu Tun Syed Zahiruddin bin Syed Hassan.

 

SMK Tun Syed Zahiruddin memulakan sesi persekolahan yang pertama pada 3 Januari 2011. Jumlah murid seramai 330 orang terdiri daripada murid tingkatan 1, 2 dan 4 (19% murid Melayu, 8% murid Cina dan 1% murid India) dan guru seramai 25 orang (10 guru lelaki dan 15 guru perempuan) serta 3 orang staf.

 

Pada tahun 2011, pihak sekolah telah membuka 11 buah kelas terdiri daripada 4 buah kelas tingkatan 1, 4 buah kelas tingkatan 2 dan 3 buah kelas tingkatan 4. Menjelang tahun 2012 pula, pihak sekolah menambah bukaan kelas kepada 7 buah kelas lagi terdiri daripada kelas tingkatan 3 dan 5. Seterusnya pada tahun 2015 kelas tingkatan 1, 2, dan 3 telah dibuka sepenuhnya sebanyak 12 buah kelas terdiri dari 4 buah setiap tingkatan. Manakala tingkatan 4 sebanyak 5 buah kelas dengan penambahan mata pelajaran elektif iaitu Lukisan Kejuruteraan dan tingkatan 5 pula sebanyak 5 buah kelas. Ini menunjukkan bahawa bilangan murid di sekolah ini telah meningkat kepada seramai 516 orang murid dan begitu juga dengan tenaga pendidik yang bertambah kepada 53 orang guru pada tahun berakhir 2016.

bottom of page