top of page


 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

NILAM

‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.


Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.

Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca di sekolah-sekolah. Walau bagaimanapun kesan daripada program tersebut masih belum mencapai tahap yang dikehendaki. Dengan demikian Kementerian Pelajaran perlu mencari pendekatan baru bagi melaksanakan program galakan membaca yang lebih berkesan dan dapat dijalankan secara berkesan.

MATLAMAT 
Matlamat Program NILAM ialah supaya terbina tabiat membaca dalam kalangan murid.

OBJEKTIF 
• Menjadikan murid banyak membaca
• Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi

   menyemai tabiat membaca ini.

KOMPONEN

• Membaca dan merekod bahan bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.


• Mengesahkan rekod dan mengumpul data
Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru kelas dan diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.


• Memberi Pengiktirafan dan Ganjaran
Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.

CIRI  PERLAKSANAAN NILAM

Rekod Bacaan
Suatu rekod bacaan setiap pelajar disediakan sebagai dokumen pembacaan mereka. Pengisian rekod melatih pelajar contohnya :  mengingati pengarang dan judul buku yang dibaca / tema buku / sinopsis buku.

 

Borang Rekod Bacaan.
Pelajar merekodkan bacaan masing-masing di bawah pengawasan guru, terutamanya semasa waktu matapelajaran bahasa. Guru berkenaan kemudiannya  menyemak dan mengesahkan rekod bacaan pelajar berkenaan. 

 

Pengiktirafan Tokoh Membaca
Data rekod bacaan setiap sekolah dikumpul di Pusat Sumber Negeri untuk dinilai di peringkat kebangsaan. Tokoh Membaca dipilih dari kalangan pelajar yang mempunyai rekod bacaan tertinggi dan diberikan Anugerah NILAM.


 

bottom of page